Isnin, 31 Ogos 2009

Kisah Nabi Muhammad dengan daging beracun


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menceritakan:

Apabila wilayah Khaibar telah ditakluki oleh pihak Islam, maka semua rakyat di negeri itu telah berada di bawah pemerintahan Islam yang diketuai oleh baginda Rasulullah. Pada suatu hari datanglah seorang Yahudi membawa daging kambing untuk diberikan kepada baginda Rasulullah kononnya sebagai hadiah. Sebelum Yahudi itu datang menemui Rasulullah dengan membawa daging kambing tersebut terlebih dahulu mereka mencampurkan daging kambing itu dengan racun.

Sebaik sahaja Yahudi itu menyerahkan daging itu kepada Rasulullah, baginda lantas berkata kepada Yahudi itu: "Aku ingin bertanya sesuatu dari kamu, bolehkah kamu semua berkata benar?"

Maka jawab Yahudi itu: "Boleh, ya.. Abu Qassim." Jawab mereka.

Rasulullah pun bertanya siapakah bapa mereka, lantas Yahudi itu menjawab si polan si polan. Maka baginda pun berkata bahawa mereka semua adalah berdusta. Maka Yahudi itu berkata: "Tuan telah berkata benar".

Baginda bertanya lagi. "Bolehkah kamu bercakap benar bila aku bertanya?"

"Boleh, ya..Abu Qassim." Jawab mereka. "Jika kami berbohong tuan pasti akan tahu sebagaimana tentang ayah kami."

Baginda bertanya mereka siapakah yang akan masuk ke neraka maka Yahudi itu pun menjawab, "Kami hanya akan dimasukkan sebentar sahaja kemudian tuan akan mengikuti kami."

Rasulullah berkata lagi, "Masuklah kamu ke dalamnya dengan hina. Demi Allah aku bersumpah bahawa kami tidak akan mengikuti kamu ke dalamnya".

Kemudian baginda bertanya lagi. "Bolehkah kamu bercakap benar bila aku bertanyakan sesuatu?".

Lalu mereka menjawab, "Boleh, ya.. Abu Qassim".

Rasulullah pun bertanya: "Adakah kamu bubuh racun di dalam daging kambing ini?"

Maka mereka menjawab bahawa mereka telah membubuh racun pada daging itu dan apabila ditanya sebabnya mereka berbuat demikian, lantas mereka menjawab: "Kami mahu membunuh engkau jika engkau seorang pendusta, jika engkau benar racun ini tidak akan membunuh engkau".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan