Jumaat, 9 Oktober 2009

Khasiat Kunyit (Curcuma Domestica)


Kunyit telah digunakan sejak turun temurun lagi. Kunyit hidup subur dikawasan lapang dan terdedah kepada cahaya matahari. Ketinggian tumbuhan ini melebihi satu meter. Rizom kunyit berwarna kuning, sedikit bersisik, berbentuk memanjang dan berjejari. Daunnya licin, berwarna hijau, berbentuk bujur dan meruncing dihujung, berbau harum serta mempunyai tangkai yang panjang. Pokok ini juga ada mengeluarkan bunga berwarna kuning dan terdapat di celah-celah daun muda.

Daun kunyit biasanya digunakan untuk memberi aroma dan warna kuning kepada masakan seperti rendang, gulai dan sebagai pembalut ikan atau daging yang dibakar. Dalam perubatan, ia digunakan sebagai antioksidan, antibakteria, antiradang dan antikanser.

Kunyit juga berupaya menyembuhkan luka di dalam badan, mengecutkan peranakan bagi wanita yang baru bersalin, membersihkan dan menghalang pembekuan darah, melancarkan peredaran darah, membantu proses pencernaan serta menghilangkan selsema. Ia juga dikatakan dapat menyembuhkan luka, terseliuh dan kudis.

Bagi masyarakat Melayu, kunyit juga diminum sebagai jamu terutamanya ibu selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah. Manakala masyarakat Cina percaya isi kunyit boleh melancarkan peredaran darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Di dalam perubatan Thai kunyit digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung. Dalam ilmu perubatan Hindu kunyit disyorkan sebagai pes untuk mengubati penyakit kulit, gatal2 dan depilatori.

Sebagai ubat luar, kunyit dicampurkan dengan minyak kelapa dipakai sebagai ubat luka. Pada penyakit cacar dan cacar air, satu lapisan serbuk kunyit akan memudahkan proses pengeringan luka. Kunyit juga sering dipakai sebagai ubat otorrhoea (penyakit telinga bernanah).

Kunyit juga digunakan untuk merawat inhaler, penyembuh radang selaput hidung yang menyebabkan penyumbatan hidung atau beberapa gejala flu yang lain.

Air rebusan kunyit diketahui sebagai ubat cirit-birit dan penambah selera makan. Untuk penyakit bronchitis dan batuk, air rebusan kunyit, jahe dan gula merah dapat mengubatinya sekiranya diminum secara teratur. Pusat Penelitian Makanan di Amerika Syarikat menemui bahawa campuran kunyit dan kayu manis ternyata berpeluang mengubati penyakit diabetes. Ramuan tersebut dapat melipatgandakan kebolehan kerja insulin untuk menguraikan glukosa. Daripada beberapa ujian Farmakologi, zat kurkumin sebagai pemberi warna kuning pada tanaman ini yang berperanan sebagai antibakteria dan antiinflimasi dalam proses penyembuhan luka.

1 ulasan:

  1. Bagus juga dapat info camni..tak payah bukak buku dan search lagi kat Yahoo@Google..Tq Fadzli...

    BalasPadam