Rabu, 30 September 2009

Pekerjaan Yang Terlarang Kerana Hadas


A. Hal2 yang terlarang dengan sebab hadas kecil

1. Mengerjakan solat, baik solat fardhu atau solat sunnat, begitu juga sujud tilawah, sujud syukur dan khutbah Jumaat.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Allah tidak menerima solat salah seorang kamu apabila ia berhadas sehingga ia berwudhu”. Riwayat Bukhari dan Muslim.
2. Thawaf, baik thawaf fardhu atau thawaf sunnat.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Thawaf itu sembahyang; hanya Allah s.w.t. halalkan sewaktu thawaf bercakap-cakap, maka barangsiapa berkata-kata hendaklah ia tidak berkata melainkan dengan perkataan yang baik”. Riwayat Hakim
3. Menyentuh, membawa atau mengangkat Mas-haf (Quran) kecuali jika keadaan terpaksa untuk menjaganya jangan rosak. Umpama menjaganya jangan terbakar atau tenggelam, maka ketika keadaan demikian mengambil Quran menjadi wajib, untuk menjaga kehormatannya.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Dari Abu Bakri bin Muhammad, sesungguhnya Nabi besar s.a.w. telah berkirim surat kepada penduduk Yaman, dalam surat itu disebutkan oleh beliau kalimat. “Tidak harus menyentuh Quran melainkan orang yang suci”. Riwayat Daruquthni.
Sebahagian ulama berpendapat, bahawa menyentuh Quran itu tidak ada halangan bagi orang yang berhadas kecil kerana tidak ada dalil yang kuat, sedang hadis tersebut tidak sah, menurut penyelidikan mereka, atau mereka tafsirkan makna ‘thahir’ hadis tersebut, thahir (suci) dari hadas besar, begitu juga ayat Quran yang serupa itu, mereka takwilkan.

B. Hal2 yang terlarang sebab hadas junub.

1. Solat, baik solat fardhu atau sunnat.
2. Thawaf, baik thawaf fardhu atau thawaf sunnat.
3. Menyentuh atau membawa atau mengangkat Mas-haf (Quran). Keterangan tiga larangan ini, beberapa hadis yang telah tercantum dalam larangan hadas kecil yang lalu.
4. Membaca Al-Quran.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Tidak boleh bagi orang junub dan orang haid membaca sesuatu daripada Al-Quran”. Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah.
Adapun membaca zikir2 yang tersebut dalam Al-Quran, boleh, asalkan tidak disengaja membaca Al-Quran. Sebahagian ulama berpendapat tidak terlarang (tidak haram) bagi orang junub membaca Al-Quran, kerana tidak ada dalil yang kuat, sedang hadis tersebut menurut penyelidikan mereka tidak sah.
5. Berhenti dalam masjid.
Firman Allah s.w.t.:
“Hai orang2 yang beriman, janganlah kamu hampiri tempat solat, ketika kamu sedang mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu katakan dan janganlah kamu dekati tempat solat ketika kamu sedang junub, kecuali melalui tempat solat sahaja, sehingga kamu mandi lebih dulu”. Surah An Nisa’ ayat 43.
Yang dimaksudkan dengan SHALAT dalam ayat, tempat solat dengan qarinah ‘abiri sabil, kerana yang dapat dilalui hanya tempat solat itu. Yang dibolehkan dalam ayat tersebut hanya melalui tempat solat.
Yang dimaksudkan dengan tempat solat dalam ayat ini ialah masjid, jadi bererti berhenti atau duduk dalam masjid tidak dibolehkan.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Saya tidak menghalalkan masjid bagi orang yang sedang haid dan tidak pula bagi orang yang sedang junub”. Riwayat Abu Daud.


C. Hal2 yang terlarang sebab hadas haid dan nifas.

1. Mengerjakan solat, baik solat fardhu atau solat sunnat.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Apabila datang haid, maka hendaklah engkau tinggalkan solat”. Riwayat Bukhari.
2. Mengerjakan thawaf, baik thawaf fardhu atau thawaf sunnat.
3. Menyentuh atau membawa Al-Quran.
4. Diam dalam masjid. Adapun melaluinya boleh, apabila ia tidak takut akan mengotorkan masjid, tetapi kalau ia takut kira2 akan jatuh kotorannya di masjid, maka lalu ke dalam masjid ketika itu haram. Keterangan beberapa hadis yang tersebut di atas.
5. Puasa, baik puasa fardhu maupun puasa sunnat. Wajib atas perempuan yang meninggalkan puasa kerana haid atau nifas mengqadha puasa yang ditinggalkannya sewaktu haid atau nifas. Adapun solat yang ditinggalkannya sewaktu haid atau nifas, tidak wajib di qadhanya.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Kata Nabi s.a.w. kepada beberapa perempuan: “Adakah tidak benar, apabila perempuan haid itu tidak solat dan tidak puasa? Jawab perempuan2 yang hadir itu: Ya, benar. Kata Rasulullah: Itulah kekurangan agama perempuan”. Riwayat Bukhari.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Dari Mu’adzah katanya: Saya telah bertanya kepada ‘Aisyah: Bagaimana caranya orang haid mengqadha puasanya, sedang solat tidak? Jawab ‘Aisyah: “Telah terjadi pada kami haid di masa Rasulullah s.a.w. maka kami disuruh mengqadha puasa dan kami tidak disuruh mengqadha solat”. Riwayat Jama’ah Ahli Hadis.
6. Haram atas suami mentalakkan (menceraikan) isterinya yang sedang haid atau nifas.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Ibnu Umar telah mentalakkan isterinya yang sedang haid, maka Umar menanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. Beliau berkata kepada Umar: “Suruhlah anakmu itu supaya ruju’ kepada isterinya itu, kemudian hendaklah ia tahan dahulu sampai perempuan itu suci, kemudian ia haid lagi, kemudian ia suci lagi, sesudah itu kalau ia (Ibnu Umar) menghendaki, teruskan perkahwinan itu, dan itulah yang baik dan jika ia menghendaki boleh ditalaknya sebelum dicampurinya. Demikianlah ‘iddah yang disuruh Allah s.w.t. yang boleh padanya perempuan ditalak”. Riwayat Bukhari dan Muslim.
7. Haram atas suami-isteri bersetubuh ketika isteri dalam haid atau nifas sampai ia suci dari haid atau nifasnya dan sesudah ia mandi.
Firman Allah s.w.t.:
“Mereka bertanya kepadamu (Ya Muhammad) perihal darah haid, katakanlah, bahawa darah itu suatu penyakit, sebab itu hindarilah perempuan2mu ketika mereka sedang haid dan janganlah kamu hampiri sampai mereka suci. Maka apabila mereka telah suci, bolehlah kamu hampiri mereka menurut yang dihalalkan Allah. Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang taubat dan orang yang suci-bersih”. Surah Al-Baqarah ayat 222.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan